Pengaruh doktor dalam lapangan masyarakat.
Dewasa ini, doktor memegang suatu watak yang penting dan memberi pengaruh
yang besar dalam kehidupan masyarakat. Mereka juga dipandang tinggi. Setiap tutur
kata, nasihat dan panduan kesihatan yang diberikan mereka sangat diambil berat.
Contohnya bagi pesakit yang mengidap penyakit kencing manis (Diabeties
mellitus), nasihat serta larangan
sang doktor terhadap cara hidup mereka yang tidak sihat amat diikuti. Oleh itu,
mereka mula bertukar ke arah pengamalan cara hidup yang lebih sihat dari segi
penjagaan berat badan, kerap bersenam, proses pengubatan dan penjagaan makanan
dari sudut rendah lemak serta kalori yang seimbang.
Begitu juga di dalam aspek pengambilan ubat ketika seseorang itu sedang
menerima sesuatu rawatan. Bagi penghidap
penyakit Gout (rheumatologi) pula, pesakit akan diberi sejenis ubat dari
jenis Non Steroidal Anti Inflammatory Drug (NSAID). Antara ubat yang
tergolong dari jenis ini adalah Indomethacin dan Ibuprofen.
Pengambilan ubat ini haruslah dengan kadar yang tertentu dan sesuai
kerana sekiranya dos berlebihan, ia akan menimbulkan komplikasi kepada pesakit
tersebut. Pesakit mungkin akan mengalami masalah pendarahan pada sistem penghadaman
(upper gastrointestinal bleeding), serangan darah tinggi dan menjadi toksik
kepada buah pinggang (nephrotoxicity).
Oleh itu, doktor memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga
aturan semua ini dan disebabkan itulah mereka sangat berpengaruh di kalangan
masyarakat.
Bagaimana
pengaruh ini terhasil?
Melihat situasi berlaku, timbul
cetusan kepada penulis untuk menjalan sedikit kajian. Apakah pengaruh ini terjadi
secara kebetulan apabila seseorang itu memegang status sebagai doktor atau apakah
sememangnya mereka perlu melalui suatu proses yang tersusun bagi mencapai tahap
tersebut.
Kesimpulannya, penulis menemui
beberapa faktor yang mengatakan bahawa seorang doktor itu mendapat pengaruh
bukanlah disebabkan ia berlaku secara kebetulan, bahkan mereka telah melalui
suatu proses dan persediaan yang khusus dan panjang. Antaranya adalah seperti
berikut :
1-
Kualiti seorang bakal doktor.
Seperti yang kita sedia maklum, untuk menjadi atau mengikuti pengajian
dalam bidang kedoktoran, seseorang itu haruslah memiliki pencapaian akademik
yang tinggi dan cemerlang dan serta
mempunyai disiplin serta komitmen yang baik.
2-
Mempunyai objektif yang jelas.
Seorang doktor yang berjaya ialah doktor yang mempunyai objektif dan
matlamat yang jelas.
3-
Praktikal ilmu dalam latihan
klinikal.
Selain itu, pelajar jurusan kesihatan juga wajib mengharungi proses
praktikal iaitu latihan klinikal yang bertujuan untuk memberi pendedahan awal
dalam bidang kedoktoran sebelum layak diiktiraf sebagai seorang doktor
perubatan.
Doktor vs
Pendakwah
Doktor dan Pendakwah, dua kerjaya
yang mempunyai cara perkhidmatan yang sama dalam kehidupan masyarakat. Doktor
berfungsi sebagai perawat jasmani (jasad), manakala pendakwah pula bertindak
sebagai perawat rohani (roh). Tanpa keduanya, masyarakat pasti akan mengalami masalah
dalam meneruskan kehidupan.
Namun begitu, di sebalik
persamaan ini sebenarnya wujud suatu perbezaan yang ketara di antara kedua entiti
ini dalam aspek penerimaan masyarakat. Apa yang kita ketahui, pengaruh doktor
amatlah besar kepada semua golongan sama ada kepada kaya atau miskin, cerdik
mahupun bodoh.
Berbeza dengan apa yang berlaku
kepada golongan pendakwah, pengaruh mereka amat terhad dan terkadang dianggap
sebagai musuh kepada pembangunan sosial masyarakat.
Mengapakah
semua ini terjadi?
Apakah semua ini kerana mereka
kekurangan ilmu untuk berhadapan dengan masyarakat?
Atau mereka sebenarnya mempunyai
ilmu bahkan memiliki kefakihan yang sangat tinggi, namun pada masa yang sama,
mereka tidak mempunyai kemahiran dalam menghadapi masyarakat?
Ataupun lebih parah lagi
sebenarnya mereka yang menceburi bidang dakwah ini langsung tidak mempunyai
ilmu dan kemahiran, namun pada masa yang sama, terlibat dengan bidang dakwah
ini setelah mana peluang kerjaya yang lain sudah tertutup bagi mereka. Maka medan
dakwahlah dijadikan pilihan terakhir bagi mencari sesuap nasi.
Melalui penelitian dan pengamatan,
penulis mendapati beberapa faktor mengapa pendakwah sukar mendapat tempat dalam
kehidupan masyarakat kini iaitu:
1-
Matlamat yang tidak jelas ketika mana
seseorang itu mahu menjadikan aspek dakwah sebagai punca rezeki mereka.
2-
Kurangnya persediaan ilmu
pengetahuan dalam diri pendakwah.
3-
Gagal menguasai ilmu sampingan dan
kemahiran dalam menghadapi masyarakat.
Bagaimana
persiapan sebagai seorang doktor boleh diaplikasikan di dalam konteks dakwah?
Bertitik tolak dari cetusan dan
idea, maka timbulah keinginan dalam diri penulis untuk menghasilkan satu buku ringkas
yang bertajuk “Bagaimanakah caranya untuk menjadi seorang doctor? : Aplikasi dalam kehidupan pendakwah”
Antara tujuan penghasilan buku
ini adalah untuk menjelaskan tujuan dan matlamat sebenarnya yang perlu di
ketahui oleh seseorang sebagai pendakwah sebelum mereka terjun dalam lapangan
masyarakat.
Selain itu penulisan buku ini juga
bertujuan membincangkan kaedah-kaedah mahupun persiapan yang telah dilalui oleh
pelajar perubatan sebagai persediaan untuk berkhidmat pada masyarakat untuk diaplikasikan
dalam kehidupan pendakwah.
Tujuan penghasilan buku ini juga
adalah untuk membincangkan betapa pentingnya softskill dan kemahiran bagi seorang pendakwah untuk mendepani
masyarakat pada masa kini.
Tuntas, matlamat akhir di sebalik
penghasilan buku ini bagi penulis adalah untuk melihat sinar Islam kembali
tertegak di muka bumi ini. Apabila pendakwah telah mula memahami tujuan sebenar
mereka untuk berdakwah, hasilnya mereka akan mudah untuk diterima , reputasi
dan pengaruh mereka semakin meningkat, dan ini akan melancarkan pengislahan dan
dakwah ke arah cara hidup Muslim yang syumul.
Wassalam
Hisyam Ahmad
Pulau Gajah, Kelantan.
20022012 @ 28 Rabiul awal 1433h


5:33 PM
hisyam ahmad

Posted in:
0 comments:
Post a Comment