Menurut kata
asalnya, psikologi berasal dari dua suku kata Yunani , psyche dan logos.
Yang mana psyche yang bererti
jiwa dan logos bererti ilmu. Dan mengikut
pengertian kamus dewan, psikologi bermaksud kajian tentang proses mental dan
pemikiran, terutamanya berhubung dengan pelakuan manusia dan haiwan; pola
pemikiran dan peelakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; dan
kebijaksanaan memahami sifat manusia.
Pengajian
ilmu psikologi ini bertujuan untuk mempelajari ilmu keperibadian manusia. Melalui
ilmu ini, seseorang itu dapat mengenali tabiat, cara berfikir perangai dan
pelbagai cabang ilmu berkaitan dengan jiwa manusia secara individu mahupun
kelompok.
Dengan mengenali
keperibadian manusia, mudah untuk seseorang itu berinteraksi dengan mereka. Lain
manusia lain pendekatan yang perlu di gunakan, kerana setiap manusia mempunyai
karekter yang berbeza.
Psikologi
dan pendakwah
Melihat akan
kelebihan ilmu psikologi ini, penulis merasakan pentingnya bagi seorang
pendakwah untuk menguasai serta mendalami ilmu ini sebagai persiapan untuk
berhadapan dengan mad’u mereka. Ini kerana dengan mengenali jiwa dan peribadi
seseorang mad’u itu, mudahlah bagi seorang da’ie menyampaikan islam kepada
mereka.
Bahkan sebenarnya
pendekatan ini telah di amalkan oleh junjungan besar kita, nabi Muhammad saw
ketika mana mendepani mad’u-mad’unya. Baginda menggunakan pendekatan yang
berbeza ketika mana berhadap dengan mad’u berbeza latar belakangnya, adakalannya
baginda bersikap tegas, ada kalanya baginda bersikap lembut dan adakalanya
baginda mengambil sikap bersederhana. Walaupun isi yang di sampaikan itu sama
topiknya.
Contohnya bila
baginda saw berhadapan dengan orang badwi, baginda lebih bersikap lembut dalam
menyampaikan dakwahnya. Sebagaiman yang di riwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab
Soheh Muslim :
Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri
untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
mengertaknya, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.”
Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai
kencing. Setelah itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menasihatinya,
“Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran,
masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Qur’an.” Atau
sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sesuai. Setelah itu,
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil satu
baldi air dan menyiramnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/133, no. 429)
Melalui hadith ini, kita boleh melihat bagaimana lembutnya
pendekatan yang di gunakan oleh baginda Rasulullah saw apabila berhadapan dengan arab badwi, kerana
baginda saw mengenali peribadi arab badwi yang mana mempunyai pengangan iman
yang rendah berbanding sahabat-sahabat baginda saw yang mempunyai iman yang
tinggi.
Namun baginda saw bersikap tegas dalam memberi nasihat dan
teguran kepada sahabat-sahabatnya yang mempunyai keimanan yang tinggi, ini
kerana baginda saw yakin, walaupun baginda saw bertegas dengan kelompok ini,
mereka tidak akan meninggalkan islam, kerana mereka mempunyai iman yang tinggi.
Seperti mana kisah dari Perang Tabuk, bagaimana nabi saw mengambil
pendekatan yang keras terhadap Ka’ab bin Malik. Baginda saw mengambil pendekatan
memulau Ka’ab bin Malik dalam tempoh yang panjang kerana kekhilafan Ka’ab dalam
menyertai peperangan Tabuk.
Walaupun tindakan pemulauan itu di lihat terlalu keras,
namun di sebabkan Ka’ab mempunyai iman yang tinggi, ianya langsung tidak
memberi kesan kepada Ka’ab untuk meninggalkan islam. Ini membuktikan betapa
bijaksananya Baginda saw dalam bermuamalat dengan sahabat-sahabatnya.
Namun berbeza sikap pendakwah pada zaman ini, mereka
memandang mad’u dalam satu karekter semata-mata, maka pendekatan untuk
menyampaikan risalah islam pun sama. Yang sepatutnya ringan di keraskan, yang
sepatutnya keras di ringankan, sehinggakan lebih parah, islam yang sepatutnya
menjadi rahmat kepada seluruh ummat masyarakat, bertukar menjadi fitnah.
Salah satu puncanya adalah kegagalan pendakwah dalam
menguasai ilmu jiwa ini,maka jadilah seperti seorang doktor yang tidak
mengetahui punca penyakit, tapi pada masa yang sama berkeinginan untuk merawat
pesakit tersebut.
Hisyam Ahmad
Pulau Gajah,
14022012/ 22 Rabiul Awal 1433h


12:11 PM
hisyam ahmad
Posted in:
0 comments:
Post a Comment